
Industri tanaman kelapa di Melaka kini mencatat kejayaan membanggakan menerusi usaha gigih Desaria Plantation Sdn. Bhd. sebuah syarikat yang mengusahakan tanaman kelapa secara komersial di Selandar, Melaka.
.
Dengan keluasan ladang mencecah 120 hektar, syarikat ini berjaya mengangkat tanaman kelapa ke tahap yang lebih tinggi, membuktikan bahawa komoditi ini mampu memberikan pulangan lumayan kepada usahawan tempatan.
.
Lawatan Pengarah Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib pada 19 Mac 2025 yang lalu membuka ruang kepada pihak Jabatan Pertanian untuk melihat sendiri kejayaan yang dicapai oleh Desaria Plantation.
.
Turut hadir dalam lawatan ini ialah Penolong Pengarah (Pengembangan), Encik Muhammad Mustaqim bin Kamarauzaman; Ketua Seksyen Pengembangan Komoditi & IAT; Pegawai Pertanian Daerah Jasin; serta pegawai-pegawai Jabatan Pertanian Negeri Melaka.
.
Lawatan ini diadakan bertujuan memantau perkembangan projek, memberikan khidmat nasihat serta membantu mempromosikan hasil pertanian keluaran syarikat ini.
.
Di bawah pengurusan Encik John Yap, Desaria Plantation menumpukan kepada penanaman beberapa varieti kelapa utama seperti Kelapa Mawar, MYD (Malayan Yellow Dwarf) dan Kelapa Pandan.
.
Keupayaan syarikat ini dalam mengeluarkan kira-kira 40,000 biji kelapa sehari menunjukkan pengurusan ladang yang cekap dan berkesan serta amalan pertanian baik.
.
Hasil tanaman yang diusahakan dipasarkan dalam pelbagai bentuk mengikut permintaan pasaran. Antara produk utama termasuk kelapa muda siap potong pada harga RM3.50 sebiji (±), kelapa muda varieti Mawar atau Pandan pada harga RM2.00 sebiji (±), kelapa tua Mawar/Pandan RM1.30 sebiji (±), serta kelapa tua siap kupas pada harga RM1.80 sebiji (±).
.
Kepelbagaian produk ini memenuhi permintaan daripada pasar raya, restoran serta pengusaha industri asas tani di dalam dan luar negeri Melaka.
.
Kejayaan Desaria Plantation tidak terlepas daripada sokongan berterusan Jabatan Pertanian, khususnya menerusi khidmat nasihat teknikal dan pemantauan oleh pegawai kawasan, En. Mohamad Faizal Janudin.
.
Jabatan Pertanian sentiasa komited membantu pengusaha seperti Desaria Plantation untuk terus maju selaras dengan matlamat memperkukuhkan industri kelapa sebagai komoditi penting di negara ini.
.
Kisah kejayaan Desaria Plantation Sdn. Bhd. membuktikan bahawa dengan pengurusan sistematik, pemilihan varieti yang berkualiti, sokongan teknikal yang berterusan serta dedikasi pengusaha, tanaman kelapa mempunyai potensi besar untuk dimajukan secara komersial.
.
Desaria Plantation menjadi contoh bahawa pertanian moden mampu memberikan pulangan ekonomi yang signifikan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan sektor agro makanan negara.