Felda Cempaka Jengka 2 berada dalam Kawasan daerah Maran dan berada berdekatan dengan Jengka 3. Dahulunya dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi), kini berkuat kuasa 1 Mac 2024 PEDi dikenali sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADi). Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menubuhkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NaDi) atau National Information Dissemination Centre (NaDi) untuk menyediakan pusat capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan melalui Program Perkhidmatan Sejagat(PPS). Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Telekom Malaysia (TM) Bhd dan MSD Digital Intelligence Sdn Bhd telah mewujudkan NaDi Felda Jengka 2 untuk memberi kemudahan serta peluang dalam kalangan penduduk di Felda Jengka 2 khususnya, dan sekitar daerah Maran untuk mempelajari serta meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.
Lebih daripada penjenamaan atau menamakan semula PEDi kepada NaDi, ada beberapa aktiviti yang direncanakan semula contohnya, meningkatkan pemahaman di peringkat komuniti mengenai program dan inisiatif kerajaan seperti AI untuk rakyat, selain menjadikan NaDi Felda Jengka 2 pusat sebaran maklumat mengenai program, aktiviti, bantuan, usaha, serta senarai bantuan kerajaan. Kewujudan NaDi Felda Jengka 2 juga diharap dapat menjadi rantaian teknologi maklumat bagi masyarakat Felda Jengka 2 dalam meluaskan rangkaian internet sedia ada seperti di sekolah-sekolah, pusat kesihatan, kerajaan elektronik serta badan bukan kerajaan. Penjenamaan semula PeDi kepada NaDi dilakukan selepas pungutan suara yang dilakukan mendapati hanya orang ramai yang tinggal berdekatan pusat PeDi mengetahui kewujudannya. Selepas penjenamaan diharapkan NaDi Felda Jengka 2 akan dimanfaatkan bukan sahaja oleh komuniti setempat tetapi secara lebih meluas memandangkan kerajaan telah membelanjakan jumlah yang besar.