Sejarah

Sejarah

 

SEJARAH DAERAH MARAN 

Asal – usul Daerah Maran, Pahang Darul Makmur.

Menurut sumber yang diperolehi daripada arkib simpanan Majlis Daerah Maran, nama Maran berasal dari nama sebuah sungai kecil yang mengalir dari Hulu Teladas ke Ulu Kampung Luit.

Walaubagaimanapun, menurut cerita dari seorang batin orang asli yang bernama Batin Tawang bin Isa yang tinggal di Kampung Merbau berhampiran Kampung Serengkam, nama Maran itu berasal dari cerita dahulukala dimana kira-kira tujuh orang asli sedang bermalam ditepi sebuah sungai (sungai Maran sekarang).

Sedang mereka tidur, mereka telah dikejutkan oleh satu lembaga yang dikatakan adalah jelmaan harimau jadian. Enam dari orang asli itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan seorang dari sahabatnya bersama-sama dengan lembaga itu. Tetapi lembaga itu tidak mengapa-apakan orang asli itu tetapi membahasakan dirinya sebagai ‘Maran’ atau ‘Sahabat’ serta menyuruh orang asli tadi menuruti sahabat mereka semula dengan menyusur sungai. Dalam perjalanan menyusur sungai inilah orang asli tadi menggelarkan sungai itu dengan nama Sungai Maran.

Kesahihan cerita tadi tidak dapat dipastikan kerana cerita sebenar yang berdasarkan fakta sejarah tulen masih belum terbongkar hingga ke masa ini.

sumber :http://pdtmaran.pahang.gov.my/index.php/en/profil-daerah/latar-belakang/sejarah-fakta

FAKTA DAERAH MARAN

Daerah Maran adalah merupakan Daerah ke 10 daripada 11 Daerah di dalam Negeri Pahang Darul Makmur. Pengisytiharan pengujudan Daerah Maran telah dibuat melalui Watikah Perisytiharan Daerah Maran yang telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Pahang Jd. 34 Bil.14 pada 13 Mei 1981.Sebelum pengisytiharan itu Daerah Maran terletak sebahagian daripada Daerah Temerloh dan sebahagian lagi Daerah Pekan. Pejabat Daerah Dan Tanah Maran pula ditubuhkan pada 23 Mei 1981 dengan Pegawai Daerah yang pertama ialah En. Ariffin bin Yusoff @ Yusoh. Keluasan Daerah Maran ialah 1917 kilometer persegi.

Panduan Ke Maran

Lebuhraya Pantai TimurTerdapat tiga laluan yang menghala ke Maran iaitu :

•             Tol Maran

•             Tol Sri Jaya

•             Tol Chenor

 

sumber : http://pdtmaran.pahang.gov.my/index.php/en/profil-daerah/latar-belakang/sejarah-fakta

 

 

SEJARAH PENUBUHAN JENGKA

 

Jengka dibuka secara rasmi pada 1967. Dalam tempoh tiga dekad (1967-1997), Jengka ditadbir oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Setelah LKWJ dibubarkan pada 1997, pentadbiran Jengka telah diserahkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM) hingga ke hari ini.

Jengka ditubuhkan melalui satu projek iaitu Segitiga Jengka oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Nama Segitiga Jengka digunakan dengan mengambil kira lokasi Jengka yang terletak diantara tiga daerah iaitu Temerloh, Maran dan Jerantut.

Jengka ialah gugusan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Gugusan Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. Di tengah-tengah gugusan rancangan FELDA ini, maka muncul sebuah bandar baru iaitu Bandar Jengka yang kini di masyhurkan sebagai Bandar Tun Abdul Razak Jengka sempena perdana menteri Malaysia yang kedua yang memainkan peranan penting kepada penubuhan Felda. Bandar Jengka kini pesat membangun dengan kelengkapan unit kedai, bank, hospital, pejabat kerajaan, pusat pengajian tinggi, pasar, sekolah, hotel dan homestay juga kilang-kilang makananan, komoditi dan elektronik , serta tempat- tempat rekreasi perkhemahan. Gugusan Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar sawit dan getah.

Terdapat 25 buah Jengka yang ditandai dengan nombor 1 hingga 25. Di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka tersebut juga diberikan nama mengikut nama bunga. Pemilihan nama bunga juga adalah mengikut abjad bagi mengenalpasti kawasan yang lebih awal dibuka.  Oleh itu satu-satu Jengka itu dinamakan sebagai Jengka 1 (Anggerik), Jengka 2(Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6, Jengka 7, Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10(Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12, Jengka 13 (Putri Malu), Jengka 14 (Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21(Teratai), Jengka 22(Terkis), Jengka 23 (Tonkin), Jengka 24, dan Jengka 25. Hal ini bermakna Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25.dalam kawasan jengka juga terdapat tanah rancangan felda yang tidak menggunakan nama jengka, kerana ia di tubuhkan lebih dahulu dari jengka itu sendiri. Di antaranya felda Kampong Awah 1963, felda Ulu Jempol 1965, felda Sungai Nerek 1967. 

MITOS ASAL USUL NAMA JENGKA

 

Mitos 1 Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak berhampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.

 

Mitos 2 Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran tok batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantara sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin ke tu?”. Dari sinilah Jengka mendapat nama.